Putera Khalid Al Walid
Soalan:
1. Apakah peraturan dan undang-undang manusia diatas muka bumi ini?
2. Apakah kelebihan dan kelemahan-kelemahan undang-undang manusia?
3. Apakah perbezaan undang-undang manusia dengan undang-undang Islam?
Azimin, Johor
Jawapan:
1. Peraturan dan undang-undang manusia
Peraturan-peraturan dan undang-undang ciptaan manusia membawa maksud peraturan ciptaan manusia, atau dengan kata lain undang-undang yang dicipta oleh manusia bagi mengawal perlakuan manusia itu sendiri. Pada hari ini pun, kita lihat banyak peraturan ciptaan manusia yang muncul. Peraturan lalu lintas, peraturan tanah, peraturan pejabat, peraturan pentadbiran dan lain-lain.
Peraturan ciptaan manusia ini diterima Islam apabila ia tidak bercanggah dengan peraturan yang terdapat dalam Islam seperti peraturan yang tidak bercanggah dengan pelaksanaan hukum hudud dan hukum qisas. Sebaliknya peraturan yang melibat hukum-hukum takzir iaitu hukum yang dilihat sesuai oleh pihak berkuasa untuk mengawal perlakuan manusia adalah dibenarkan selagi tidak mendatangkan kerosakan kepada manusia itu sendiri seperti kerosakan kepada agama, pemikiran, keyakinan, kehormatan diri, keturunan dan tubuh badan.
2. Kelebihan dan kelemahan undang-undang manusia
Peraturan yang dicipta oleh manusia tetap mempunyai kebaikan dan keburukannya. Antaranya menimbulkan rasa bangga manusia dengan peraturan yang diciptakan oleh mereka sendiri. Mengatur kehidupan manusia secara lebih sistematik dan memperlihatkan akal manusia dalam mengendalikan urusan yang bersangkutan dengan manusia itu sendiri.
Antara keburukannya pula ialah peraturan manusia tidak suci sebagaimana peraturan yang ditetapkan oleh Allah. Peraturan yang diciptakan oleh manusia bersifat sementara waktu dan hanya sesuai untuk masa-masa tertentu sahaja. Peraturan manusia sentiasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Peraturan yang dibuat oleh manusia kurang dihormati oleh manusia yang lebih tinggi dari orang yang membuat peraturan itu sendiri. Peraturan yang dibuat oleh manusia tidak dapat mendidik rohani manusia. Contohnya peraturan lalu lintas: Seseorang yang disaman oleh pihak polis kerana memandu kenderaan tanpa lesen umpamanya, walaupun ia pandai memandu, akan membayar denda yang dikenakan ke atasnya tetapi perasaan tidak puas hatinya tetap wujud dalam sanubarinya.
3. Perbezaan undang-undang manusia dengan undang-undang Islam
Kelebihan undang-undang dan peraturan ciptaan Allah SWT berbanding undang-undang dan peraturan ciptaan manusia antaranya adalah, undang-undang ciptaan Ilahi adalah bersifat suci, kerana ia datang dari tuhan yang
bersifat dengan sifat kesempurnaan. Peraturan ciptaan Ilahi seperti hukum hudud dan qisas bersifat kekal sehingga ke hari kiamat tidak seorangpun berhak mengelakkan diri dari menghukum berdasarkan hukum Islam apabila ada seseorang yang melakukan pembunuhan, jika telah sabit segala buktinya.
Hukum bunuh balas tetap dikenakan ke atasnya jika segala bukti tadi telah sabit. Peraturan ciptaan Ilahi mendatangkan rasa gerun di dalam hati, di mana perasaan gerun ini adalah merupakan satu bentuk pendidikan kepada pelaku kemungkaran dan orang-orang yang menyaksikan pelaku kemungkaran itu dijalankan hukuman ke atasnya. Hukuman Ilahi menggugurkan dosa pelakunya. Dengan lain perkataan seseorang yang melakukan perzinaan, kemudian dilaksanakan hukum-hukum hudud zina ke atasnya, maka dosa-dosanya dihapuskan dan ia akan dibangkitkan di akhirat kelak tanpa dosa zina lagi, jika ia bertaubat sebelum ia sempat meninggal. Inilah antara puluhan keistimewaan undang-undang dan peraturan Ilahi yang terdapat dalam Islam.
No comments:
Post a Comment