Dr Al Qaradhawi Dizalimi?
Ketika pemberontakan di dunia Arab merambah ke Yaman dan Bahrain, tanpa diduga dunia Islam sekali lagi dikejutkan dengan sebuah kenyataan yang cukup kontroversi dari Perdana Menteri Malaysia. Ucapan beliau tentang Dr Yusuf Al Qaradhawi dan gerakan Ikhwanul Muslimin sebagai pendokong aktiviti pengganas telah dilaporkan oleh National Review pada 23 Februari 2011 mencetuskan perdebatan hangat di Malaysia.
Bagaimana mungkin seorang tokoh ulama’ dunia yang perkataannya didengar seantero dunia dan karangannya dibaca oleh sekian banyak umat Islam – dikatakan sebagai ulama’ sesat dan pendokong terroris? Ini sebuah kata yang memerlukan bukti. Kerana itulah banyak manusia terutamanya kaum pembangkang menyalahkan Dato’ Seri Najib dan meminta beliau bertaubat.
Persoalannya apakah kenyataan beliau ketika di Turki ini sebagai sebuah dusta dan kata pengampu kepada Amerika Syarikat? Justeru kita memerlukan sebuah penjelasan, bukan penerangan dari para politikus walaupun dia berjubah dan berserban, malah jauh dari penerangan tokoh Liberal Malaysia yang cukup disayangi oleh Barat.
Cukuplah sekiranya kita sebagai Ahlus Sunnah dengan mengambil pandangan ulama’ Sunni yang muktabar zaman ini sebagai penjelasan. Tetapi yang menjadi masalahnya adalah lidah kita tidak bertulang; antara ucapan dan kelakuan saling bertentangan.
Banyak dari kita mengaku sebagai Ahlus Sunnah namun mereka meninggalkan sunnah dan memalingkan diri dari fatwa para masyaikh Ahlus Sunnah. Lebih mengharukan adalah mereka tidak mengenal siapakah ulama’ Ahlus Sunnah yang sebenarnya.
Kalaulah Dato’ Seri Najib sekadar mengucapkan bahawa Dr Yusuf Al Qaradhawi itu sebagai ulama’ yang memberi galakan kepada keganasan, dilihat sebagai manusia berdosa dan wajib taubat, apakah layak bagi kita untuk menyuruh puluhan ulama’ Mu’tabar Ahlus Sunnah bertaubat lantaran kenyataan mereka terhadap ‘tokoh’ ini lebih mengerikan?
Dr Qaradhawi Disesatkan Oleh Para Ulama’ Sunnah?
Malah terdapat beberapa kitab yang dikarang khusus untuk memperingatkan umat dari kesalahan ‘tokoh’ tersebut, antaranya yang ditulis oleh Asy-Syaikh Ahmad bin Muhammad bin Manshur Al ‘Udaini Al Yamani dengan tajuk Raf’ul-Litsaam ‘An Mukhaalafatil-Qaradhaawii Li Syarii’atil-Islaam (Kesalahan-kesalahan Yusuf Qaradhawi. Penerbit : Daarul-Atsaar, Yaman, cet. I 1421 / 2000).
Begitu juga dengan sebuah kitab berjodol Ta’ziz al-Raddul Kawi li Iskat al-Kalb al-‘Awi Yusuf Bin ‘Abdillah al-Qaradhawi oleh As Syeikh Abu Abdullah Shakib as-Salafi yang mengemukakan bukti kukuh tentang penyelewengan fatwa-fatwa Dr Yusuf Al Qaradhawi dari syariat Islam.
Sebelum itu seorang tokoh ulama Hadith Dunia, Al Muhaddith As Syeikh Muqbil Al Wadi’i telah mengarang sebuah kitab dengan tajuk yang sangat menggerunkan, guna untuk memperingatkan masyarakat tentang bahaya pemikiran ‘tokoh’ tersebut. Dengan tajuk “Membungkam Anjing Yang Menggonggong Yusuf Bin ‘Abdillah Al Qaradhawi” (Iskaatul-Kalb al-‘Aawiy Yusuf bin ‘Abdillah al-Qaradhawi).
Untuk umat Islam yang awam, pasti terkejut dengan kewujudan buku-buku khusus membicarakan tentang kesalahan Dr Yusuf Al Qaradhawi. Malah para ustaz yang menyokong pemikiran Al Qaradhawi, untuk menolak hujah dari buku-buku tersebut juga tidak mampu kerana ia ditulis dengan bukti yang sangat kukuh. Kebenaran itu lebih kita cintai dari jasad ‘tokoh’ tersebut.
Justeru apakah kesalahan Dato’ Seri Najib lantaran beliau hanyalah menepati perkataan ulama’ Ahlus Sunnah? Apakah memuliakan dengan mengikut fatwa ulama’ Sunnah yang terbukti kebenarannya merupakan sebuah dosa sehingga wajib bertaubat?
Sebenarnya para ulama sunnah yang lain telah banyak berkata tentang tokoh ini, antaranya tiga orang mujaddid abad ini iaitu al Muhaddith As Syeikh Nasiruddin Albani, Mufti As Syeikh Bin Bazz (mantan Mufti Saudi) dan Al Faqih As Syeikh Muhammad Bin Uthaimin. Perkataan mereka ini dapat dilihat ketika mereka membicarakan tentang Ikhwanul Muslimin.
Molek kiranya saya nukilkan beberapa perkataan para masyaikh dalam pengantar buku Raf’ul-Litsaam ‘An Mukhaalafatil-Qaradhaawii Li Syarii’atil-Islaam (Kesalahan-kesalahan Yusuf Qaradhawi). Syaikh Al ‘Allamah Muhaddits Ad Diyar Al Yamaniah Abu Abdurrahman Muqbil bin Hadi Al Wadi’i rahimahullah berkata:
“Di antara sekian banyak dai (pendakwah) sesat yang menyeru kepada kesesatan pada zaman sekarang ini adalah Yusuf Al Qaradhawi, Mufti Qatar. Sungguh dia telah menjadi senjata baru bagi musuh-musuh Islam.
Dia telah mencurahkan pena dan lisannya guna menyerang agama Islam. Dai Ahlus Sunnah tidak akan tinggal diam. Mereka pasti akan mengarahkan anak panah kepadanya dan menghabiskan hujahnya sebagaimana mereka telah menghabisi dai-dai sesat lainnya. Di antara dai Ahlus Sunnah yang melakukan tugas demikian adalah Al Syaikh Al Fadhil Ahmad bin Muhammad bin Manshur Al ‘Udaini. Dia telah banyak meneliti sepak-terjang kesesatan Qaradhawi. Pokok-pokok kesesatan Qaradhawi itu dipatahkannya berdasarkan dalil-dalil Al Qur’an dan As Sunnah.”
Syaikh Al Muhaddits Al Fadhil Abu Ibrahim Muhammad bin Abdul Wahhab Al Washabi hafidhahullah: “Jazahullah Khairan Jazaa. Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala membalasnya dengan ganjaran yang sangat baik atas pengorbanan yang telah dicurahkan untuk menasihati Yusuf Al Qaradhawi dan juga umat Islam umumnya. Wajib hukumnya bagi kaum Muslimin untuk menerima kebenaran yang datang kepadanya, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Maka tidak ada sesudah kebenaran itu melainkan kesesatan maka bagaimanakah kamu dipalingkan (dari kebenaran)? (QS. Yunus : 32)”
Seterusnya kata sambutan diberi oleh Syaikh Al Fadhil Ad Da’iyah Abu An Nashr Muhammad bin Abdullah Al Imam hafidhahullah dengan berkata: “Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam. Shalawat dan salam semoga senantiasa tercurah kepada Nabi Muhammad beserta keluarga dan shahabatnya. Amma Ba’du. Saya sudah menelaah Kitab Raf’ul Litsaam ‘An Mukhaalafatil Qaradhaawii Li Syarii’atil Islam karya Ahmad bin Muhammad bin Manshur Al ‘Udaini. Di dalamnya disingkap tirai kerosakan Yusuf Al Qaradhawi. Barangsiapa yang tidak menututp aib dirinya dengan adanya malam maka aibnya tidak akan tertutup sama sekali pada siang harinya”.
Saya cukupkan di sini sebuah fatwa dari Syaikh Ad Da’iyah Al Muhannik Abu Dzar Abdul Aziz bin Yahya Al Bura’i rahimahullah tentang Dr Al Qaradhawi: “Tentang Qaradhawi, manhaj ikhwanul muslimin telah mendarah daging dalam dirinya. Sudah pernah saya katakan dan akan selalu saya katakan bahawa Ikhwanul Muslimin tidak mempunyai seorang alim yang layak menjadi rujukan dalam ilmu syariah.
Jika memang ada seorang alim dalam bidang syariah maka pasti dia telah mendapatkan ilmunya dari luar jama’ah Ikhwanul Muslimin. Sedangkan yang mendapat ilmu dari sesama anggota Ikhwanul Muslimin lalu menjadi ulama’ pasti akan melahirkan berbagai penyimpangan. Contoh yang nyata adalah Yusuf Al Qaradhawi dan Muhammad Al Ghazali”.
Dr Yusuf Al Qaradhawi Dan Qatar
Dr Yusuf Al Qaradhawi yang terkenal di Malaysia apabila dibawa masuk oleh Dato’ Seri Anwar satu masa dahulu mengeluarkan fatwa tentang Demonstrasi di Mesir dalam temubual dengan stesen satelit Al-Jazeera pada 2 Februari 2011 dengan sebuah kata yang batil: “Saya mengucapkan syabas kepada para pemuda yang menyertai siri-siri demonstrasi di atas keberanian, kecekalan, kemahuan dan sikap tidak berganjak mereka daripada lokasi-lokasi demonstrasi. Saya katakan kepada mereka, samada kamu menjadi orang-orang yang mulia dan bahagia, atau kamu mati sebagai para syuhada”
Kemudian beliau menjelaskan tentang Husni Mubarak: “telah mula menyembelih tanahairnya sendiri dan bertindak seperti tindakan Firaun serta menjadikan sebahagian rakyat Mesir berkuasa ke atas sebahagian yang lain”
Mungkin beliau berkata sedemikian lantaran beliau dibuang dari Mesir sehingga terpaksa merempat di Qatar. Tapi merempat beliau di Qatar bukan dengan duduk di gobok, pakai dengan pakaian compang camping, makan dengan kais pagi makan pagi. Sebaliknya beliau dimuliakan di Qatar sehingga sebuah institut diwujudkan di sana dengan nama The Qaradawi Center for Islamic Moderation and Renewal. Sebelum itu pada tahun 2009, Kerajaan Qatar telah mewujudkan biasiswa dengan nama “Sheikh Yusuf Al Qaradawi Scholarships” di bawah tajaan The Qatar Faculty of Islamic Studies, satu jabatan dari Qatar Foundation for Education, Science and Community Development.
Beliau – Dr Qaradhawi – tinggal di negara yang kaya dengan minyak dengan sangat bahagia. Qatar sebagai sebuah negara monarki yang dipimpin oleh Sultan Hammad Bin Khalifa Al Thani dengan menjalankan undang-undang syariah dan undang-undang sivil dalam sistem discretionary yang diterajui oleh Emir. Semenjak tahun 2000 lagi, Saya akan ceritakan sedikit tentang Negara Qatar. Qatar telah melakukan proses liberalisasi dalam kehidupan sosial dan politik. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan bahawa Qatar mempunyai KDNK per kapita yang tertinggi di dunia, diikuti oleh Liechtenstein. Menariknya pada tahun 2003, Qatar menjadi pusat dan tapak pelancaran pencerobohan Iraq oleh Amerika.
Lantas kita tertanya-tanya, di manakah fatwa Dr Al Qaradhawi terhadap kerajaan Qatar? Terhadap hubungan Qatar dan Barat terutamanya Amerika? Terhadap sistem kehidupan dan politik di Qatar?
Ikhawnul Muslimin Menyebar Faham Pluralisme
Sebuah persoalan yang akan timbul barangkali adalah kaitan Dr Qaradhawi dengan Ikhwanul Muslimin (IM) yang dikatakan sebagai gerakan berbahaya. Sedangkan gerakan IM telah merebak ke seluruh pelosok dunia ibarat jamur selepas hujan.
IM dikenal sebagai kelompok manusia yang inginkan Islam dan mementingkan keagamaan. Namun tanpa kita sedari – seperti kata As Syeikh Abdul Aziz bin Yahya Al Bura’i bahawa IM tidak ada ulama’ yang boleh dijadikan rujukan – IM banyak mengajak kepada pluralisme. Lebih menarik adalah adik bongsu kepada Hassan Al Banna iaitu Gamal Al Banna yang dididik oleh beliau sendiri merupakan seorang tokoh Islam Liberal. Malah cucu beliau iaitu Tariq Ramadhan yang merupakan anak kepada Wafa Al Banna Binti Hassan Al Banna adalah tokoh ulung Islam Liberal di Dunia Barat.
Hasan Al Banna berkata tentang Dasar IM : “Dakwah Ikhwanul Muslimin tidaklah ditujukan untuk melawan satu aqidah, agama ataupun golongan, kerana faktor pendorong perasaan jiwa para pengembang dakwah jama’ah ini adalah berkeyakinan fundamental bahawa semua agama samawi berhadapan dengan musuh yang sama, iaitu atheisme”. (lihat Qofilah Al-Ikhwan As-Siisi 1/211)
Dikuatkan lagi dengan persaksian sendiri oleh Hassan Al Banna: “Dan akan dikumpulkan (disatukan) segala jenis pemikiran, baik yang terdahulu atau yang terkini” (Muzakkirat ad-Dakwah wa Daiyah. Hlm. 353.)
Kemudian usaha Hassan Al Banna ini diakui oleh Umar Tilmisani, beliau berkata: “Dan dia (Hasan Al Banna) telah menyampaikan keinginannya untuk menyatukan kalimah Muslimin yang mana dia melontarkan keinginannya di Muktamar Menyatukan Firqah Islam (al-Mulham al-Mauhub Hasan al-Banna. Hlm. 78)
Hasan Al Banna pernah berkata: “Untuk itu kami tetapkan bahawa permusuhan kami dengan Yahudi bukanlah permusuhan agama. Kerana Al Qur`an telah menganjurkan untuk bergabung dan berkawan dekat dengan mereka. Dan Islam merupakan syariat kemanusiaan sebelum menjadi syariat kaum tertentu. Islam pun telah memuji mereka dan menjadikan antara kita dengan mereka keterkaitan yg kuat.” (Al-Ikhwanul Mus-limun Ahdatsun Shana’at Tarikh I/409-410. Lihat Al-Quthbiyyah Hiyal Fitnah Fa’rifuha hal. 59)
Banyak manusia mengira Hassan Al Banna melawan Barat dan sangat prejudis kepada Dunia Barat, namun hal ini disangsikan oleh Jamal Al Banna dengan berkata: “Syaikh Hasan al-Banna tidaklah keras seperti yang dianggap oleh masyarakat”. Beliau katakan hal ini kepada wakil Majalah Tempo dari Indonesia.
Zuhaid el-Qudsy merupakan Koresponden Majalah Tempo di Kaherah bertanya lagi: “Bagaimana Ikhwanul menghadapi pluralis masyarakat Mesir?” Lantas Jamal Al Banna menjawabnya tanpa bimbang: “Anggota Ikhwan dibimbing dan diarahkan sehingga siap dalam menghadapi pluralis”.
Memang IM dilihat sangat membenci Barat dari segi kekuatan ketenteraan kerana pencerobohan mereka dan penaklukan mereka keatas bumi Islam, tetapi dalam masa yang sama mereka mengambil pemikiran Barat melalui falsafah pluralism, demokrasi dan liberalism.
Ikhwanul Muslimin Dan Terorris
Namun di sebalik kelembutan dan kasih sayang IM kepada segala agama, ditambahlagi dengan kesanggupan mereka untuk berkerjasama dengan para thaghut asalkan mampu untuk mengalahkan pemerintah Muslim, wujud juga keganasan dalam jamaah ini.
Mahmud Abdul Halim dalam bukunya “Ikhwanul Muslimin wa Ahwal Tsintai ‘Asyara Tarikh” menjelaskan bagaimana Hassan Al Banna merencana aktiviti penggulingan Raja Faruq dan menubuhkan sayap kiri yang bersifat ketenteraan. Malah Hakim Khazin juga dibunuh oleh As Sindi, ketua sayap kiri IM lantaran dianggap kafir apabila menghukum ahli IM.
Sementara Asy-Syaikh Ayid Asy-Syamiri Hafizahullah berkata dalam bukunya “Turkah Hasan Al Banna Wa Ahammul Waritsin”:
“Gejala keganasan nampak jelas ketika pada tahun 1940 M, Hasan Al Banna membentuk tandzim (organisasi sayap) khusus bagi Ikhwanul Muslimin. Anggotanya di baiat (sumpah setia) kepada pimpinan (Hasan Al Banna) dengan mushaf Al Qur’an. Bila pemimpin memberikan arahan untuk membuat kekacauan atau melakukan pembunuhan, maka harus dilaksanakan. Demikianlah hari-hari yang mereka lalui.
Mereka membunuh dan membantai manusia. Hal ini disebutkan oleh Mahmud As Shabagh dalam bukunya “‘Tandzim khash.” (kelompok khusus). Mahmud menyebut beberapa contoh gerakan yang dilakukan Ikhwanul Muslimin seperti merusuh, pembunuhan, demonstrasi, membunuh polisi/tentara pemerintah dan rakyat jelata,. Serta cerita-cerita lain dari liku-liku mereka yang panjang”.
Kemudian As Syeikh Syamiri menjelaskan bahawa kerajaan Raja Faruq telah menjumpai dokumen tentang rancangan pemberontakan lalu menangkap ahli IM yang membawa dokumen tersebut. Maka Hassan Al Banna mengarahkan seorang ahli IM untuk melenyapkan dokumen itu dengan meledakkan balai polis yang menyimpan dokumen tersebut. Tetapi usaha itu tidak berhasil.
“Beberapa media menuduh bahawa kejadian itu didalangi oleh Ikhwanul Muslimin. Dalam akhbar milik Ikhwanul Muslimin, Hasan Al Banna membuat siaran media; bahawa dia berlepas diri dari kejadian itu dan menyatakan bahawa perbuatan itu bukan dari Islam. Mahmud Ash Shobagh (anggota IM) berkata, “utusan Al Banna tadi ketika diperlihatkan kepadanya keratan akhbar yang menyatakan Ikhwanul Muslimin telah mengatakan bahawa orang yang meletupkan bom tersebut telah menjadi kafir.
Iapun mengaku dan berkata, ‘Mereka telah menipuku, merekalah yang mengutusku agar meletakkan bom, sekarang mereka mengkafirkanku’.”
Ada dua buah buku yang bagus untuk diteliti tentang operasi ketenteraan oleh Hassan Al Banna, yang ditulis oleh ahli IM sendiri iaitu karangan Mahmud Abdul Halim dalam bukunya“Ikhwanul Muslimin wa Ahwal Tsintai ‘Asyara Tarikh” dan buku Mahmud Ash-Shabagh berjodol “Tanzim Khash”.
Keganasan ini tidak dapat ditutup oleh para tokoh IM termasuk Dr Qaradhawi. Pemikiran terroris ini sekali lagi dimunculkan oleh Sayid Qutub dan diikuti oleh sebilangan tokoh-tokoh IM. Beliau berkata: “Bahawasanya pada hari ini tidak terdapat di permukaan bumi sebuah negara Islam, tidak pula sebuah masyarakat Islam”. (Lihat: Fii Zilalil Quran, 4/2122) sebagai pengkafiran kepada umat Islam. Oleh itu bagi mewujudkan masyarakat Islam dan Negara Islam, kekerasan harus digunakan.
Sehinggakan pemikiran terroris ini diakui oleh Dr Qaradhawi: “Pada peringkat pengkafiran ini, yang merupakan kemuncak terakhir dari pengkafiran Sayyid Qutub, ia tercatit di dalam tulisan-tulisannya. Di dalam tulisan-tulisan tersebut terpancar pengkafiran terhadap masyarakat dan perlunya penundaan dakwah untuk beralih kepada undang-undang Islam (hakimiyah) dan menyerukan jihad melawan seluruh manusia”. (Lihat: Aulawiyyatul Harakah al-Islamiyah, Hlm. 110, Yusuf al-Qaradhawi)
Jihad yang dimaksudkan adalah aktiviti terroris seperti yang sedang dilakukan oleh Al Qaedah, Jemaah Takfir Dan Hijrah, Jemaah Islamiyah, Kumpulan Mujahidin Malaysia, dan beberapa kumpulan lain. Mereka menghalalkan bom bunuh diri, pengeboman tempat maksiat, pembunuhan para pegawai kerajaan asing dan menyokong penentangan kepada pemerintah Muslim.
Ali ‘Isymari di dalam bukunya “Sirriyatut Tarikh Ikhwanul Muslimin” berkata tentang kaedah Sayid Qutub melakukan da’wah jihad:
“Jika berlaku ancaman kepada Ikhwanul Muslimin, Sayid Qutub mengarahkan agar segera diselesaikan dengan cara melancarkan berbagai-bagai kerusuhan, pengeboman besar-besaran seperti memusnahkan jambatan, pusat janakuasa eletrik dan tempat-tempat strategi lainnya sebagai sabotaj sehinggalah Jamal Abdul Naser dapat digulingkan”
Selanjutnya Ali ‘Isymari mengatakan bahawa senjata api dan bahan peledak dibekalkan oleh Zainab Al Ghazali Al Jubaili yang merupakan ketua Jama’at Muslimat, sayap wanita untuk IM. Belia mendapat senjata api ini dari beberapa negara luar.
Lebih menarik, Usama Ben Ladin adalah murid kepada pemikiran Sayid Qutub. Beliau mendapat pemikiran ini ketika belajar di Universiri King Abdul Aziz dari para tokoh IM yang menjadi pensyarah di sana. Para tokoh IM ini diselamatkan oleh Kerajaan Arab Saudi dari diburu oleh kerajaan Gamal Naser.
Taqiyah Menjadi Dasar Hassan Al Banna
Ketika Hassan Al Banna melihat bahawa beliau hidup dalam jihad maka tipu muslihat menjadi salah satu unsur yang dibenarkan. Oleh kerana itu beliau sering mengeluarkan kenyataan yang dilihat bersifat kontra.
Taqiyah iaitu sikap berpura-pura dalam menjaga agama – yang dianut oleh Syiah – telah diaplikasi oleh Hassan Al Banna, sehingga seluruh kaum Muslimin percaya bahawa IM difitnah walhal para tokoh IM yang hidup dizaman Hassan Al Banna mengakui kewujudan Sayap Kiri ini.
Asy-Syaikh Ayid Asy-Syamiri Hafizahullah berkata tentang surat pujian Hasan Al Banna kepada Raja Faruq:
Pada tahun 1946 M, Hasan Al-Banna mengirim surat terbuka kepada Raja Faruq, ia memuji Raja Faruq dan berkata, “Sesungguhnya Ikhwanul Muslimin merasa takut terhadap kemuliaan Anda dan Ikhwanul Muslimin begini dan begini,” demikianlah ia memuji Raja Faruq dan mendoakan kebaikan untuknya.
Sementara itu dia merencanakan rampasan kuasa dari tahun 1944 M dan mewujudkan tanzhim khusus pada tahun 1940 M, enam tahun sebelum mengirim surat tersebut. Maka hal ini boldeh dikatakan termasuk masalah tipu daya (taqiyah). Sebelumnya kita telah menyebutkan dari Mahmud Ash Shabagh bahawa Hasan Al Banna cuci tangan dari aksi keganasan salah seorang anggotanya. Dia lakukan ini dalam rangka perang, sedangkan perang adalah tipu daya! (Lihat: Prinsip kedua Turkh Hasan al-Banna wa-Ahammul Warisin)
Berkenaan dengan kenyataan media oleh Hassan Al Banna setelah kejadian peletupan bom, Mahmud Ash Sabagh berkata bahawa Hassan Al Banna sengaja menipu kerana berada dalam peperangan. Beliau juga menjelaskan bahawa lelaki yang membawa bom tersebut tidak dapat memahami maksud sebenar dari penafian Hassan Al Banna.
Lantas Asy-Syaikh Ayid Asy-Syamiri Hafizahullah berkata tentang hal tersebut:
Yakni Hasan Al Banna berdusta dalam siarannya. Dia berkeyakinan hidup dalam negeri perang, dan dengan begitu dia telah mengkafirkan negeri yang dia tempati. Jadi orang pertama yang mencetuskan masalah mengkafirkan daulah/negara adalah Hasan Al Banna, bukan Sayyid Quthub, dialah yang mewejudkan ‘tandzim khusus’ setelah mengkafirkan negara dan berusaha menggulingkan ketua negara. Mahmud Ash Shobagh mengabarkan kepada kita bahawa Hasan Al Banna memandang bahawa peperangan adalah tipu daya dan peperangan hanyalah dilancarkan kepada orang-orang kafir.
Oleh kerana itu, kita dapat lihat bahawa para IM sentiasa mengatakan bahawa Jamal Naser telah membuat busta dan sengaja mencari kambing hitam untuk memenjarakan anggota IM serta membuhun Hassan Al Banna. Walhal umat telah tertipu dengan sikap taqiyah mereka.
Islam Liberal Dan IKD
Lebih menarik, Institut Kajian Dasar (IKD) yang menjadi “organisasi pemikir” kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah sebuah pertubuhan yang memperjuangkan pemikiran Islam Liberal di Malaysia. IKD juga disokong oleh pertubuhan liberal dunia iaitu Konrad Adenauer Foundation (KAF) juga dieja sebagai Konrad Adenauer Stiftung (KAS) atau Yayasan Konrad Adenauer. KAF ini telah diserang oleh Perwakilan UMNO dari Pulau Pinang sebelum ini sehingga menyebabkan Peter Schier, wakil KAF di Malaysia mengeluarkan kenyataan di akhbar The Sun (http://www.thesundaily.com/article.cfm?id=16263)
Untuk menyebarkan Islam Liberal atau nama lainnya “Islam Tanwiri”, IKD mewujudkan beberapa rencana seperti Komuniti Jalan Telawi (http://jalantelawi.com/ ) dan Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC).
MEGC berupa sebuah pusat kajian dan penerbitan bagi mempromosikan pemikiran Liberal di tengah-tengah masyarakat Malaysia. Antara buku-buku yang telah diterbitkan oleh MEGC, IKD dan teman-teman mereka yang lain adalah:
1. Islam & Dasar Pemerintahan : Sebuah Kajian Tentang Kedudukan Khalifah Dan Kerajaan Dalam Islam ( Al Islam wa Ushul al Hukm – Bahthun fi al Khilafah wa al Hukumah fi al Islam) – oleh Ali Abdul Raziq
2. Pergolakan Pemikiran Islam : Catatan Harian Ahmad Wahib
3. Tumit Achilles
4. Islam Tunduk Menyerah
5. Bercakap Atas Nama Tuhan
6. Agama Dan Kebebasan Berfikir
7. Hukum Barat Pun Islam
8. Konsep Kebebasan Dan Agama
9. Bunga Bank Bukan Riba Yang Diharamkan?
10. Kahwin Campur Antara Muslin Dengan Non-Muslim
11. Demokrasi Dalam Qur’an, Hadits Dan Tradisi
12. Islam Dan Pluralisme
13. Patah Balek
14. Renaisans Dan Humanisme
15. Kembara Seorang Reformis
16. Kenapa Kapitalis Berjaya Di Barat Dan Gagal Di Tempat Lain
17. Perjalanan Ibn Arabi
18. Mengejar Matahari
Lantas ada sebuah pertanyaan tentang penaung kepada IKD iaitu mantan Timbalan Perdana Menteri – Dato’ Seri Anwar. Apakah beliau tidak ambil pusing dengan penyebaran Islam Liberal yang dilakukan oleh “think tank” beliau – IKD? Apakah beliau tidak kisah dengan beberapa tokoh Islam Liberal yang menjadi ahli DUN dan Ahli Parlimen PKR?
Mungkin beliau tidak pentingkan hal tersebut kerana beliau adalah Islam Moderat seperti yang dikatakan oleh Tokoh Islam Liberal Indonesia – Abdurrahman Wahid (Gus Dur) dalam bukunya “Susu Kerbau Dibilang Susu Sapi”.
Beliau berkata tentang mesyuarat rahsia beliau bersama-sama Anwar Ibrahim dan Paul Wolfowitz, di Munich pada 2004: “Penulis (Gus Dur) dan Paul Wolfowitz sama-sama beranggapan, bahawa posisi Anwar Ibrahim, seperti Saad al-Din Ibrahim, Sekjen Muntada Al-Fikr Al-‘Arabi (Klub Pemikiran Arab), yang meringkuk bertahun-tahun di penjara Kairo, Mesir, harus dijaga sebagai salah satu tokoh Muslim moderat”.
Bukan itu sahaja, selain dari IKD yang berpangkalan di Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga mempunyai peranan dalam penubuhan IIIT (International Institute for Islamic Thought) yang berpangkalan di USA dan Malaysia. IIIT merupakan organisasi Islam yang menyebarkan pemikiran-pemikiran Islam Liberal. Perkara ini dinyatakan oleh Charles Kurzman dari University of North Carolina at Chapel Hill.
Sangat dikejutkan apabila IIIT sebenarnya merupakan cabang gerakan kepada IM. Ini dinyatakan sendiri oleh IM dalam web mereka, The Global Muslim Brotherhood Daily Report. Dr Yusuf Al Qaradhawi banyak mempengaruhi pertubuhan tersebut.
Untuk mengenang jasa beliau yang “moderat” maka Anwar Ibrahim menerima gelaran “Muslim Moderat of The Year Award 2005″ daripada CSID (Center for the Study of Islam and Democracy), sebuah organisasi Islam Liberal. (http://www.anwaraidc.com/?p=4702)
Nama beliau sekali lagi diulang oleh oleh Charles Kurzman dalam artikelnya Liberal Islam: Prospects and Challenges sebagai tokoh Malaysia yang membawa reformasi liberal. Nama beliau disebut sederet dengan nama-nama tokoh Islam Liberal yang lain seperti Aminah Wadud, Nircholas Majid dan Gus Dur. (http://meria.idc.ac.il/journal/1999/issue3/kurzman.pdf)
Ironinya apabila Dr Yusuf Al Qaradhawi dikatakan sebagai ulama’ yang menyokong terrorisme oleh Dato’ Seri Najib, maka “sahabat” kepada IKD mendesak supaya PM memohon maaf kepada Dr Yusuf Al Qaradhawi kerana menganggap kenyataan PM sebagai sebuah cerita dusta.
Mungkin kerana Charles Kurzman dalam bukunya “Liberal Islam and Its Islamic Context” telah mencatatkan pada bab 22 bahawa Dr Yusuf Al Qaradhawi sebagai tokoh yang banyak menyebarkan pemikiran Islam Liberal.
No comments:
Post a Comment