Tidaklah mudah menentukan bahawa seseorang itu telah melakukan qazaf, kerana Islam mewajibkan syarat-syarat tertentu bagi orang yang melakukannya, orang menjadi mangsa dan tuduhan itu sendiri.
Syarat-syarat bagi orang yang melakukan tuduhan itu adalah:
1.Berakal. Tidak boleh diterima tuduhan yang dilakukan oleh orang gila, kerana cakapnya tidak boleh dipakai.
2.Baligh, yakni sampai umur mukallaf yang boleh dipertanggungjawabkan perintah-perintah agama ke atasnya. Kanak-kanak yang belum baligh, tidak boleh dikategorikan tuduhannya sebagai qazaf.
3.Tidak dipaksa. Tidak boleh menerima tuduhan yang dilakukan oleh orang yang dipaksa supaya melakukan tuduhan itu.
4.Tidak dapat mengadakan empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat saksi mengikut hukum Islam
Orang yang dituduh juga hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
1.Berakal. Maka tidak sah menuduh orang yang tidak berakal. Oleh itu orang yang menuduh tidak boleh diambil tindakan qazaf
2.Baligh. Maka orang yang menuduh terhadap orang yang tidak baligh, tidak boleh dikenakan hukuman had qazaf. Dia hanya dikenakan hukuman ta’zir.
3.Islam, mengikut jumhur para ulama.
4.‘Iffah atau ihsan, yakni orang yang dituduh itu seorang yang diketahui kebaikan akhlaknya dan tidak pernah disabitkan melakukan zina.
5.Orang yang ditentukan tidak berlaku qazaf dengan menuduh seseorang yang tidak ditentukan secara khusus.
Syarat tuduhan pula hendaklah tuduhan dalam perkara zina, menurut ijmak para ulama dan tuduhan dalam perkara liwat, mengikut pendapat jumhur para ulama. Sekiranya tuduhan itu dalam perkara yang lain seperti berjudi, minum arak, rasuah dan sebagainya, maka tidak dinamakan qazaf yang mewajibkan hukuman hudud, tetapi berpindah kepada hukum takzir yang terserah kepada budibicara pihak yang berkenaan untuk menentukan hukumannya.
Mensabitkan Jenayah Qazaf
Kesalahan qazaf yang dijatuhkan hukuman had ialah apabila terbukti melalui dua cara:
1.Iqrar daripada orang yang melakukan qazaf.
2.Dua orang saksi yang memenuhi syarat-syarat saksi.
Hukum Hudud yang berkait dengan Qazaf
Terdapat kekhilafan di kalangan para ulama, adakah hukum qazaf berkait dengan hak Allah atau hak manusia?
Mazhab Hanafi menegaskan bahawa qazaf termasuk di dalam kategori hak Allah terhadap hamba-Nya kerana ia berkait dengan maruah seseorang. Hukum hudud yang ditetapkan ke atas jenayah qazaf berkait dengan maslahah umum, iaitu untuk memelihara kepentingan hamba-hamba Allah (manusia) dan maruah mereka, serta menghindarkan perkara kefasadan di kalangan manusia.
Apabila ia menjadi aspek umum maka ia termasuk dalam hak Allah terhadap hamba-hamba-Nya.
Mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat bahawa qazaf termasuk dalam kategori hak hamba (manusia), kerana maruah secara langsung diberikan kepada manusia. Apabila maruahnya dijatuhkan melalui qazaf, ia bermakna seperti melakukan sesuatu ke atas batang tubuh orang yang tertentu, maka ia menjadi hak bagi diri orang itu.
Manakala ulama dalam mazhab Maliki berselisih pendapat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju dengan mendapat Mazhab Hanafi, ada yang bersetuju dengan pendapat Mazhab Syafie dan Hambali. Di antara mereka adalah Ibnu Rusyd, dan ada yang berpendapat bahawa di dalam perkara qazaf ada kedua-dua hak tersebut.
Mereka yang berpegang kepada pendapat bahawa qazaf itu adalah hak Allah, bermakna setelah perkara itu dibawa kepada pihak yang berkenaan (berwajib) maka ia tidak boleh dimaafkan lagi, yakni mangsa tuduhan tidak boleh memberikan pengampunan.
Pengampunan hanya boleh diberi sebelum kes tersebut dibawa kepada pihak yang berkenaan. Manakala mereka yang menyatakan bahawa qazaf itu adalah hak manusia, maka mangsa tuduhan diberi hak untuk memberikan pengampunan kepada orang yang dijatuhkan hukuman kerana kesalahan melakukan qazaf.
Hak Tuduhan Qazaf
Mereka yang berpendapat bahawa qazaf termasuk dalam kategori hak manusia, mengatakan bahawa orang yang menjadi mangsa mempunyai hak pengampunan ke atas orang yang melakukan jenayah qazaf.
Sekiranya orang yang menjadi mangsa qazaf masih hidup, maka hak membuat pendakwaan terserah kepadanya sendiri. Sekiranya ia telah meninggal dunia, maka hak tersebut berpindah kepada keluarganya yang terdekat, iaitu bermula daripada ayah hingga ke atas, kemudian berpindah kepada anak hingga ke bawah. Ia tidak berpindah kepada saudaranya yang lain, kerana perkara qazaf sangat berkait dengan maruah zuriat secara langsung.
Hukuman ke Atas Orang Yang Melakukan Qazaf (Menuduh Zina atau Liwat)
Nas dan ijtihad para ulama yang berlandaskan roh syariat Allah yang maha adil, menunjukkan bahawa tuduhan yang menjatuhkan maruah seseorang seperti tuduhan zina dan liwat tidak harus dipermudah-mudahkan.
Untuk membuat tuduhan itu, wajiblah mempunyai alasan dan hujah yang kukuh. Perkara-perkara yang diwajibkan ke atas pihak yang berkenaan supaya dilaksanakan ketika melakukan sesuatu tuduhan, membuktikan bahawa kewajipan memelihara maruah juga menjadi tanggungjawab kerajaan setelah ditegaskan bahawa ianya adalah kewajipan individu.
Kesalahan tuduhan zina dan liwat amat besar, sehingga ia dimasukkan ke dalam jenayah yang dikenakan hukuman keras dan ditetapkan sendiri hukumannya oleh Allah SWT secara nas di dalam Al-Quran. Di akhirat pula ia dikira sebagai dosa besar yang disediakan azab yang pedih kepada pelakunya, sekiranya dia tidak bertaubat dan meminta maaf daripada mangsa tuduhan atau tidak menerima tindakan undang-undang Islam oleh pihak yang berkenaan.
Hukuman di dunia
Hukuman di dunia yang wajib dijatuhkan ke atas penjenayah qazaf oleh kerajaan Islam ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran.
Firman Allah (al-Nur: 4) yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.”
Hukuman terhadap penjenayah qazaf di dunia ialah:
1.Disebat sebanyak 80 kali sebatan mengikut cara Islam. Bukannya sebatan seperti yang diamalkan sekarang. Iaitu dengan alat yang sederhana dan cara pukulan yang sederhana. Tidak dibenarkan mengangkat alat sebatan lebih tinggi daripada kepala dan sebatan itu tidak boleh menyebabkan kulit dan daging terkoyak. Orang yang disebat pula hendaklah berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan memakai pakaian yang bersopan serta disaksikan oleh orang ramai.
2.Dihukum menjadi fasik dengan tidak diterima penyaksiannya dalam segala urusan, sama ada di mahkamah, ketika berjual beli, perkahwinan, melihat anak bulan Ramadan, Syawal dan lain-lain.
Hukuman di Akhirat:
Firman Allah (al-Nur: 23-24) yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan (dan lelaki-lelaki) yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.”
Hukuman pada hari kiamat nanti lebih adil dan bijaksana. Allah Yang Maha Mengetahui tidak menghukum dengan sifat mengetahui-Nya sahaja, tetapi perbicaraan akan di ulang semula di mahkamah-Nya dengan bukti-bukti yang lebih terperinci. Ketika itu, anggota badan manusia, tangan dan kaki mereka akan menjadi saksi. Di samping itu terdapat catatan para malaikat, iaitu makhluk Allah yang paling baik dan suci, yang nalurikan dengan sifat sentiasa taatkan perintah Allah dan tidak sekali kali menderhakai-Nya.
Mereka akan dikerah untuk menjadi saksi sehingga mulut para pembohong dan pendakwa yang pandai mengubah kata dan meminda catatan tidak mampu lagi untuk memutarbelitkan kenyataan yang sebenar.
No comments:
Post a Comment